BELCAMP, 29 Jun - Tarif keluli yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencetuskan kemarahan dan semakin meningkat dalam kalangan pengeluar tin, di sini.
Di kilang Independent Can di Maryland timur laut Baltimore, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rick Huether, 72, kini bimbang dengan keupayaan perniagaan yang diusahakan keluarganya sejak sekian lama.
Menurut Huether, pelaksanaan tarif Trump itu merumitkan usahanya untuk meneruskan operasi disebabkan kenaikan harga bahan mentah.
“Kami hidup dalam keadaan huru-hara sekarang,” katanya kepada AFP.
Tambah Huether, bahan mentah seperti plat timah perlu diimport bagi memenuhi keperluan syarikat untuk menghasilkan tin.
"Bekalan dari AS tidak mencukupi, ia hanya mampu membuat kira-kira 25% plat tin yang diperlukan.
"Kami perlu mendapatkan 70% lagi logam dari luar AS," kata Huether.
Dengan tarif keluli pada kadar 50% ketika ini, beliau menjangkakan harga produk keluaran syarikatnya (tin) akan dinaikkan lebih 20%, yang akan menjejaskan pesanan sehingga 25%.
Independent Can menrupakan pengeluar utama tin yang digunakan untuk menyimpan kuih, buah-buahan kering, kopi dan susu tepung di Maryland. - AFP