GENEVA, 18 Jun – Pertubuhan Bangsa Bersatu mengeluarkan satu laporan mengenai jenayah kemanusiaan yang dilakukan rejim Israel terhadap Gaza pada Selasa.
Menurut laporan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa PBB mengenai wilayah Palestin, tindakan tentera Israel menunjukkan niat jelas untuk memusnahkan kehidupan di Gaza.
Pengerusi suruhanjaya tersebut, Navi Pillay memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, bahawa tentera Israel telah melakukan jenayah perang, termasuk serangan yang disasarkan terhadap orang awam dan pembunuhan dengan sengaja, selain jenayah terhadap kemanusiaan.
“Suruhanjaya itu tidak dapat mengenal pasti sebarang keperluan ketenteraan bertindak sedemikian. Tindakan itu menunjukkan niat untuk memusnahkan kemudahan bagi menafikan akses pendidikan rakyat Palestin secara jangka panjang.” kata Pillay.
Laporan tersebut juga mendapati bahawa lebih 90 peratus bangunan sekolah dan universiti di Gaza telah dimusnahkan.
Lebih separuh daripada semua tapak keagamaan dan kebudayaan di wilayah itu turut musnah.
Sistem pendidikan Palestin turut terjejas di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, akibat tentera Israel dilaporkan menjalankan operasi lebih agresif, dan pelajar mengalami gangguan serta serangan oleh peneroka haram.
-REUTERS