fb fb fb fb fb

AS hantar lebih banyak jet pejuang ke Asia Barat di kancah perang Israel-Iran

Pesawat pejuang F-16, F-22 dan F-35 antara dihantar oleh Amerika Syarikat / Foto REUTERS

ORLAND, 18 Jun – Tentera Amerika Syarikat kini sedang menghantar lebih banyak pesawat pejuang ke Asia Barat serta melanjutkan tempoh penempatan pesawat tempur lain, dalam usaha memperkukuh kehadiran tenteranya di rantau tersebut, berikutan perang yang semakin sengit antara Israel dengan Iran.

Perkara itu dinyatakan tiga pegawai rasmi Amerika Syarikat di sini.

Seorang pegawai berkata, penghantaran itu termasuk pesawat pejuang F-16, F-22 dan F-35.

Dua lagi pegawai menegaskan bahawa langkah itu bersifat defensif, memandangkan pesawat berkenaan digunakan untuk menembak jatuh dron dan peluru berpandu.

Pentagon setakat ini belum memberikan sebarang kenyataan rasmi.

Menurut laporan awal media pada Isnin (16 Jun), Amerika turut menghantar sejumlah besar pesawat pengisi minyak ke Eropah serta sebuah kapal pengangkut pesawat ke Asia Barat.

Tindakan itu bertujuan memberi lebih banyak pilihan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika ketegangan memuncak di rantau tersebut.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth berkata, semua penempatan itu bersifat pertahanan, dengan tujuan utama untuk melindungi pasukan Amerika daripada sebarang serangan balas oleh Iran.

Seorang lagi pegawai pertahanan Amerika Syarikat turut menyebut, "Kemungkinan penghantaran tambahan kapal perang Tentera Laut Amerika ke Mediterranean Timur, kapal itu berupaya memintas peluru berpandu balistik.

"Buat masa ini, Amerika sudah mempunyai kehadiran tentera yang besar di Asia Barat, dengan hampir 40,000 anggota tentera, sistem pertahanan udara, pesawat pejuang dan kapal perang yang mampu mengesan dan memusnahkan peluru berpandu musuh." katanya.

Serangan udara Israel terhadap Iran yang dilancarkan pada Jumaat lepas, merupakan yang terbesar pernah dilakukan, selepas Israel mendakwa Iran hampir membina senjata nuklear.

-REUTERS

SITI AISHA MELISA YUHANIZ