Tehran, 18 Jun - Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Jeneral Abdolrahim Mousavi, pada Selasa memberi amaran kepada penduduk bandar utama Israel iaitu Tel Aviv dan Haifa, supaya segera berpindah.
Tegasnya, serangan balas akan dilancarkan tidak lama lagi.
"Operasi hukuman akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan video yang disiarkan oleh televisyen kerajaan Iran sejak hari kelima konflik itu tercetus, selepas serangan udara Israel pada Jumaat lepas.
Tambah beliau, serangan Iran sebelum ini terhadap Israel hanya bertujuan untuk menjadi penghalang, namun kini amaran lebih keras dikeluarkan.
Merujuk kepada Israel, Mousavi berkata, "Penduduk khususnya Tel Aviv dan Haifa, digesa untuk meninggalkan kawasan ini demi keselamatan nyawa mereka."
Setakat ini, serangan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 224 orang di Iran, termasuk komander tentera tertinggi, saintis nuklear dan orang awam.
Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron, menyebabkan sekurang-kurangnya 24 kematian di Israel, menurut angka terkini dari pejabat Perdana Menteri Israel.
-AFP