fb fb fb fb fb

Lapangan terbang di Pskov diserang dron

(FOTO AFP)

MOSCOW, 30 Ogos- Lapangan terbang di Pskov diserang menggunakan dron pada Rabu, namun tentera Rusia dilaporkan berjaya menangkis serangan tersebut.

Begitupun, empat pesawat pengangkut dilaporkan rosak.

Pskov terletak kira-kira 800 kilometer (hampir 500 batu) dari sempadan Ukraine dan wilayah sekitarnya bersempadan dengan negara anggota EU Latvia dan Estonia.

"Kementerian pertahanan sedang menangkis serangan dron di lapangan terbang Pskov," kata gabenor wilayah Mikhail Vedernikov di media sosial.

Vedernikov turut menyiarkan video memaparkan kebakaran besar, dengan bunyi letupan dan siren di lapangan terbang tersebut.

Vedernikov berkata dia berada di tempat kejadian. “Menurut maklumat awal, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya sambil menambah skala kerosakan sedang dinilai.

Agensi berita negara TASS, memetik perkhidmatan kecemasan, berkata bahawa empat pesawat pengangkut berat Ilyushin Il-76 telah rosak.

TASS juga melaporkan ruang udara di atas lapangan terbang Vnukovo Moscow telah ditutup.

Wilayah Pskov sebelum ini turut menjadi sasaran serangan dron Mei lalu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini Moscow dan wilayah Rusia lain telah bertubi-tubi menjadi sasaran serangan dron Ukraine selepas Kiev berikrar untuk "mengembalikan" konflik itu kepada Rusia.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu