fb fb fb fb fb

Puluhan singa laut mati dijangkiti selesema burung

(FOTO REUTERS)

BUENOS AIRES, 30 Ogos- Puluhan singa laut mati akibat selesema burung di Argentina, ketika wabak global yang belum pernah berlaku sebelum ini terus menjangkiti mamalia, meningkatkan kebimbangan ia boleh merebak dengan lebih mudah dalam kalangan manusia.

Pihak berkuasa kesihatan haiwan baru-baru ini melaporkan singa laut mati di beberapa lokasi di sepanjang pantai Atlantik di Argentina, dari selatan ibu kota Buenos Aires ke Santa Cruz berhampiran hujung selatan benua itu.

Pihak berkuasa alam sekitar Patagonia memaklumkan, 50 lagi singa laut telah mati, dengan simptom yang sama dengan selesema burung.

"Jumlah kematian semakin meningkat. Tiada rawatan veterinar untuk kes-kes ini," kata seorang pegawai tempatan kepada AFP.

Pihak berkuasa telah meminta penduduk mengelak daripada mengunjungi pantai di sepanjang garis pantai Argentina kira-kira 5,000 kilometer (3,100 batu) di mana kes serupa telah dilaporkan.

Singa laut adalah mamalia laut, seperti anjing laut dan walrus. Singa laut jantan dewasa boleh mencecah berat kira-kira 300 kilogram (660 paun).

Selesema burung H5N1 biasanya terhad kepada wabak bermusim, tetapi sejak 2021 banyak kes telah dipalorkan sepanjang tahun, dan di seluruh dunia, yang membawa kepada apa yang pakar katakan sebagai wabak terbesar pernah dilihat.

Beratus-ratus singa laut dilaporkan mati di Peru awal tahun ini, kerana virus itu telah memusnahkan populasi burung di seluruh Amerika Selatan.

Tiada rawatan untuk selesema burung, yang merebak secara semula jadi antara burung liar dan juga boleh menjangkiti ayam ternakan.

Virus influenza burung biasanya tidak menjangkiti manusia, walaupun terdapat kes yang jarang berlaku.

Walau bagaimanapun, wabak itu telah menjangkiti beberapa spesies mamalia, seperti cerpelai dan kucing.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran pada bulan Julai lalu wabak itu berpotensi untuk menjangkiti manusia dengan lebih mudah.-AFP


(FOTO REUTERS)

Media Baharu