TOKYO, 30 Ogos - Jika zirafah boleh tidur berdiri, mungkin manusia juga boleh, 'Giraffepod' iaitu pod tidur kini dipasang di sebuah kafe di daerah Harajuku, di sini.
"Setiap hari zirafah tidur sambil berdiri selama kira-kira 20 minit. Dan seperti itu, (kami fikir) 20 minit sehari juga sesuai untuk tidur siang," kata pembuat pod Jepun dari Koyoju Plywood Corporation, Yoshihito Nohara.
Pod yang bersaiz seperti pondok telefon itu, mempunyai ruang yang cukup untuk kegunaan seorang penggunanya.
Ia mempunyai kusyen untuk meletakkan lutut dan belakang dan tempat letak kepala dengan kusyen yang kukuh untuk menahan tubuh, pengguna Giraffepod boleh tidur seketika sambil kekal tegak.
(FOTO REUTERS)
"Jika anda berbaring untuk berehat, anda boleh tidur dengan mudah selama satu atau dua jam, yang akan memberi kesan negatif kepada tidur anda pada waktu malam," kata pengurus Nestle Jepun Jiro Takaoka sambil menambah: "Dengan Giraffenap ini anda boleh berdiri dan tidur. Ia bagus untuk tidur pada waktu siang selama 20 minit,"
Bayaran yang dikenakan ialah 825 yen ($5.60) untuk slot setengah jam.
"Ia adalah pengalaman pertama saya tidur sambil berdiri. Berat badan saya lebih disokong daripada jangkaan saya dan saya dapat berehat," kata salah seorang pengguna pertama pod, seorang pekerja IT berusia 20-an yang dikenali Miyazaki.
Meskipun Giraffepod masih dalam tempoh percubaan hingga 7 September depan, Nohara berkata mereka sedang berusaha untuk memasarkannya ke pejabat dan hospital.
"Saya fikir berdiri akan menjadi sukar pada lutut saya dan sebagainya, tetapi yang menghairankan ia tidak benar-benar memberi banyak beban kepada anggota saya itu. Saya rasa ia adalah sangat membantu." kata penulis Tasuku Egawa selepas menggunakan perkhidmatan itu. - REUTERS