(FOTO AFP)
KAHERAH, 15 Oktober- Israel telah melancarkan serangan udara terhadap Lapangan Terbang Aleppo di Syria lewat semalam yang menyebabkan ia tidak dapat digunakan, kata kementerian pertahanan Syria.
" Israel melakukan serangan udara dari arah Laut Mediterranean, barat Latakia, menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo, yang membawa kepada kerosakan material pada lapangan terbang dan ia tidak berfungsi,” tambah kementerian itu.
Namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan tentera Israel.
Lapangan terbang itu baru sahaja beroperasi semalam selepas serangan peluru berpandu serentak oleh tentera Israel ke atas lapangan terbang di ibu negara Syria, Damsyik dan bandar utara Aleppo.
Serangan tersebut telah merosakkan landasan dan menyebabkan kedua-dua lapangan terbang itu tidak dapat beroperasi pada Khamis.
Sumber berkata, serangan ke atas lapangan terbang bertujuan untuk mengganggu talian bekalan Iran ke Syria, di mana pengaruh Tehran telah berkembang sejak ia mula menyokong Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara yang bermula pada 2011. -REUTERS