fb fb fb fb fb

Ketua Hamas gesa penduduk tolak 'perpindahan', pertahan tanah air Palestin di Gaza

(Ketua Hamas, Ismail Haniyeh/ REUTERS)

DOHA, 15 Oktober- Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, menggesa penduduk Palestin menolak 'pemindahan' di dalam Semenanjung Gaza atau keluar dari kawasan yang disekat untuk ke Mesir, susulan arahan berpindah akibat serangan udara Israel.

Dalam ucapan di televisyen, pemimpin berpangkalan di Qatar itu berkata serangan besar-besaran menyasarkan masyarakat Israel berhampiran sempadan Gaza pada 7 Oktober lalu adalah 'serangan strategik' yang akan membantu 'pembebasan Palestin'.

"Jadi, tidak akan ada perpindahan dari Tebing Barat, bukan dari Gaza dan tidak juga dari Gaza ke Mesir. Penduduk Palestin akan mempertahankan tanah air.

"Keputusan kami adalah untuk kekal di tanah sendiri, sebaliknya mahu pendudukan haram Israel meninggalkan tanah kami supaya rakyat Palestin mempunyai sebuah negara dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota," katanya.

Berikutan serangan itu, Israel mendakwa lebih 1,300 orang terbunuh sejak pejuang Hamas menyerbu selatan negara itu, membunuh orang awam dan pasukan keselamatan serta membawa sekurang-kurangnya 120 tawanan.

Israel kemudian menyerang Gaza dengan serangan udara dan tembakan artileri yang meragut sekurang-kurangnya 2,215 nyawa termasuk 724 kanak-kanak di kawasan Palestin yang disekat sejak minggu lalu, menurut kumpulan Hamas.

rtm
>(Penduduk Palestin berlindung di sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di kem pelarian Rafah, di selatan Semenanjung Gaza/ AFP)

Semalam, Haniyeh mengatakan Israel melakukan jenayah perang dan menghalang bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza.

"Kekejaman Israel sama dengan jenayah perang," katanya dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yang turut disiarkan di laman sesawang kumpulan Palestin itu.

Haniyeh juga mengutuk kepungan biadab Israel yang dikenakan ke atas wilayah Palestin, menuduh bahawa pendudukan Israel melarang kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Beliau turut menggesa Guterres untuk menekan Israel supaya membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

Israel dilaporkan mengepung sepenuhnya penempatan itu berikutan serangan 7 Oktober, menghentikan bekalan elektrik, air, makanan, perubatan dan bahan api sehingga Hamas membebaskan semua tawanan.

Kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin tinggal di Semenanjung Gaza, yang sekian lama berada di bawah sekatan yang melumpuhkan Israel sejak Hamas merampas kuasa di kawasan pantai pada 2007. - AFP

Media Baharu