NEW DELHI, 8 September - Penyelamat India mengeluarkan lapan mayat pada Ahad dari runtuhan sebuah bangunan tiga tingkat di bandar Lucknow, lapor Agensi berita Press Trust of India (PTI).
Bangunan komersial itu, yang digunakan oleh beberapa syarikat kecil, termasuk sebagai gudang dan bengkel kenderaan runtuh pada petang Sabtu.
PTI memetik seorang pegawai berkata lapan mayat telah dikeluarkan dan 28 orang cedera.
Tidak jelas sama ada masih terdapat orang lain yang terperangkap.
Punca runtuhan belum diketahui, namun kemalangan bangunan dan pembinaan adalah perkara biasa semasa musim monsun Jun-September di India, dengan struktur bangunan lama dan usang sering runtuh akibat hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari.
Akash Singh, yang bekerja di bangunan itu, berkata tiang bangunan telah mengalami keretakan.
Dia telah berpindah ke tingkat bawah kerana bimbang ia akan menjadi lebih buruk, dengan hujan monsun yang lebat melanda bandar itu.
"Tiba-tiba, seluruh bangunan runtuh di atas kami," kata Singh, dipetik oleh PTI.
Yogi Adityanath, Ketua Menteri negeri Uttar Pradesh, menyifatkan kematian itu sebagai "sangat menyayat hati" dalam satu kenyataan, dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.-AFP