ISTANBUL, 8 September - Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan pada Sabtu menggesa negara-negara Islam membentuk pakatan menentang apa yang disebut sebagai "ancaman peluasan" dari Israel.
Ini selepas pembunuhan seorang wanita Turki-Amerika oleh tentera Israel ketika menyertai tunjuk perasaan pada Jumaat, menentang peluasan penempatan di Tebing Barat yang diduduki Israel.
"Satu-satunya langkah yang dapat menghentikan keangkuhan Israel, kejahatan Israel dan keganasan negara Israel adalah pakatan negara-negara Islam," kata Erdogan pada acara persatuan sekolah Islam berhampiran Istanbul.
Beliau menyatakan langkah-langkah terkini yang diambil Turkiye untuk memperbaiki hubungan dengan Mesir dan Syria bertujuan "membentuk barisan solidariti menentang ancaman peluasan yang semakin meningkat," yang menurutnya turut mengancam Lubnan dan Syria.
Menteri Luar Israel, Israel Katz, dalam satu kenyataan menyifatkan kenyataan Erdogan sebagai "pembohongan berbahaya dan hasutan," dan mengatakan bahawa pemimpin Turkiye itu telah bekerjasama dengan Iran selama bertahun-tahun untuk melemahkan rejim-rejim Arab sederhana di rantau itu.
Erdogan pada pertemuan bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, di Ankara minggu ini turut membincangkan mengenai perang di Gaza serta cara bagaimana untuk memperbaiki hubungan yang telah sekian lama beku dalam tempoh 12 tahun.
Hubungan antara mereka mula mencair pada tahun 2020 apabila Turkiye memulakan usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan dengan saingan serantau yang sudah lama renggang, termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.
Pada Julai, Erdogan berkata bahawa Turkiye akan melanjutkan jemputan kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad, "bila-bila masa" untuk mengadakan rundingan bagi memulihkan hubungan antara dua negara jiran itu, yang terputus pada tahun 2011 selepas tercetusnya perang saudara Syria.
Tentera Israel berkata selepas insiden pada Jumaat bahawa mereka sedang menyiasat laporan bahawa seorang warga asing wanita "telah terbunuh akibat tembakan di kawasan itu. Butiran kejadian dan keadaan di mana dia terkena tembakan sedang dikaji."
Tiada komen segera mengenai insiden tersebut dari pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.-REUTERS