WASHINGTON, 8 September- Seorang individu dari wilayah Missouri menjadi individu pertama di Amerika Syarikat (AS) diuji positif bagi kes selesema burung tanpa pendedahan yang diketahui kepada haiwan yang dijangkiti.
Pesakit dewasa itu yang mengalami beberapa masalah kesihatan, dimasukkan ke hospital pada 22 Ogos lalu.
Dia menerima ubat antivirus terhadap influenza, di mana dia kemudian pulih dan dibenarkan pulang dari hospital tersebut, menurut kenyataan daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kanan Missouri.
Memandangkan jenis selesema pesakit tersebut kelihatan mencurigakan pada ujian awal, ia dihantar bagi menjalani ujian tambahan di makmal wilayah dan persekutuan, di mana ia didedahkan merupakan H5, yang juga dikenali sebagai selesema burung.
CDC menyatakan pihaknya tidak mengenal pasti sebarang penularan kepada kontak rapat pesakit terbabit atau mana-mana individu lain.
Para saintis menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan bilangan mamalia yang dijangkiti selesema burung, sekalipun kes yang dikaitkan dengan manusia masih dianggap jarang berlaku.
Mereka khuatir kadar penularan yang tinggi boleh memudahkan mutasi virus, yang membolehkannya disebarkan dari satu manusia ke manusia yang lain.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada Sabtu bahawa "sistem pemantauan penyakit negara dapat mengenal pasti kes ini, di mana pesakit terbabit sudah menerima rawatan antivirus, dan tiada lagi kes dikesan dalam kalangan kontak rapat adalah memberangsangkan".
"Penting bahawa siasatan terhadap pendedahan pesakit itu diteruskan, seperti yang dinyatakan oleh pihak berkuasa kebangsaan dan wilayah, untuk memaklumkan aktiviti pencegahan dan tindak balas selanjutnya," kata Dr Maria Van Kerkhove, pengarah kesiapsiagaan dan pencegahan wabak dan pandemik WHO.- AFP