fb fb fb fb fb

Lapan ditahan penyokong bola sepak bertempur

(Foto menunjukkan kenderaan polis dibakar peminat bola sepak yang merusuh / AFP)

NAPLES, 17 Mac- Tiga peminat bola sepak Jerman dan lima warga tempatan ditahan berikutan pertempuran dengan polis di Naples ketika aksi Liga Juara-Juara Napoli dengan Eintracht Frankfurt pada Khamis.

Akibat daripada itu, kesemua mereka dilarang daripada memasuki stadium Naples antara lima dan lapan tahun, kata polis.

Enam pegawai polis cedera dalam insiden tersebut, menurut Ketua Polis Naples, Alessandro Giuliano.

Pertembungan pertama berlaku pada sebelah petang, dan berterusan selepas perlawanan, kemenangan mudah 3-0 untuk Napoli yang membawa mereka mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Bom asap dan suar, kerusi, botol dan tiang logam dilemparkan ke arah polis, yang bertindak balas dengan gas pemedih mata. Kemudian, peminat Napoli dirakam oleh media Itali melemparkan objek ke arah bas yang membawa peminat Eintracht.

Polis sedang mengenal pasti 470 peminat Jerman yang tinggal di bandar itu, dan sedang memeriksa imej untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab, kata Giuliano dalam sidang akhbar.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila berpuluh-puluh penyokong Atalanta, yang mempunyai sejarah konflik dengan peminat Napoli, bergabung tenaga dengan penyokong pasukan Jerman.

Datuk Bandar Naples Gaetano Manfredi mengutuk keganasan tersebut dan menyifatkannya sebagai 'tindakan yang tidak boleh diterima', manakala ahli politik pembangkang mempersoalkan cara kerajaan mengendalikan situasi itu, terutama Menteri Dalam Negeri Matteo Piantedosi.

Pemain Napoli Juan Jesus berkata serangan itu mencemarkan imej bandar serta buruk untuk bola sepak.

Ahli lembaga pengarah Eintracht Frankfurt Philipp Reschke turut melahirkan rasa kecewanya.

"Kami amat kesal dengan peristiwa yang berlaku di sini. Tiada apa-apa yang boleh membenarkan keganasan ini... ia tidak boleh diterima," kata Reschke pada Khamis sebelum pasukan itu menaiki penerbangan pulang ke Frankfurt.

"Ia memudaratkan bola sepak, ia memudaratkan Eintracht Frankfurt dan ia memudaratkan usaha kami untuk menyokong penyokong yang mahu menonton perlawanan tanpa sekatan di stadium."

Walaupun Eintracht memutuskan untuk tidak menjual tiket untuk bahagian tempat lawan di Naples untuk perlawanan kedua pusingan 16 terakhir, penyokong Jerman tetap telah pergi ke selatan Itali itu untuk menyaksikan perlawanan.

Kelab Frankfurt memilih untuk tidak mengambil peruntukan mereka selepas wilayah Naples memutuskan pada Ahad untuk melarang penduduk bandar Jerman itu daripada membeli tiket.

Keputusan itu dibuat selepas berlaku keganasan dalam perlawanan pertama yang dimenangi 2-0 oleh Napoli di Frankfurt, menyebabkan sembilan orang ditahan.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu