fb fb fb fb fb

Korea Utara sah lancar ICBM Hwasong-17

(Gambar dikeluarkan kerajaan Korea Utara menunjukkan pelancaran ICBM, semalam/ KCNA)

SEOUL, 17 Mac- Korea Utara mengesahkan ujian projektil dilancarkannya, semalam, adalah peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dikenali sebagai Hwasong-17, lapor agensi berita negara itu, KCNA.

Pelancaran peluru berpandu itu, yang terdahulu dilaporkan Seoul, dilakukan ketika Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) menjalankan latihan ketenteraan bersama yang disifatkan sebagai 'provokatif serta agresif', menurut laporan berkenaan, hari ini.

Ia adalah kali ketiga Korea Utara menunjukkan keupayaan senjata peluru berpandu dimilikinya hanya dalam tempoh sejak Ahad lalu.

Pyongyang melancarkan Hwasong-17 ketika Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, menuju ke Tokyo bagi menghadiri sidang kemuncak bertujuan memulihkan hubungan, sekali gus membina kerjasama dengan Jepun untuk berdepan ancaman tindakan Korea Utara berterusan melakukan ujian peluru berpandu.

"Ujian peluru berpandu itu dilancarkan sebagai memberi amaran lebih keras kepada musuh yang sengaja meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea," lapor KCNA.

Menurut laporan itu lagi, Pyongyang memaklumkan bahawa peluru berpandu itu terbang kira-kira 1,000 kilometer (km) pada altitud maksimum sekitar 6,000km sebelum mendarat tepat di kawasan pratetap dalam perairan terbuka di Laut Timur.

Seoul dan Washington meningkatkan kerjasama pertahanan dalam menghadapi ancaman ketenteraan serta nuklear yang semakin membimbangkan daripada Korea Utara.

Pyongyang melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat, Selasa lalu, selain melepaskan dua peluru berpandu jelajah strategik dari sebuah kapal selam pada Ahad, iaitu beberapa jam sebelum latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan dikenali sebagai 'Freedom Shield' bermula Isnin dengan dijadualkan berlangsung selama 10 hari.


(Seorang lelaki berjalan melepasi skrin televisyen yang menunjukkan siaran berita rakaman fail ujian
peluru berpandu Korea Utara/ AFP)

Dua negara bersekutu itu menekankan, latihan 'Freedom Shield' memfokus kepada 'persekitaran keselamatan yang berubah' susulan peningkatan ancaman daripada Korea Utara.

Korea Utara pula melihat semua program seumpama itu sebagai latihan untuk pencerobohan, dan berulang kali memberi amaran akan melakukan tindak balas 'besar.' - AFP

Media Baharu