TAIPEI, 20 Mei - Lai Ching-te mengangkat sumpah pada Isnin sebagai Presiden Taiwan ketika negara itu menghadapi tekanan tentera China yang semakin meningkat dan ketegangan parlimennya.
China mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan menggambarkan Lai, 64 tahun sebagai 'pemisah berbahaya' yang akan membawa pertelingkahan dan menjatuhkan pulau itu.
Lai menggantikan Presiden Tsai Ing-wen yang memerintah selama lapan tahun menyaksikan konflik dengan Beijing berikutan penolakannya terhadap tuntutan China.
Seperti Tsai, Lai juga adalah pembela teguh sistem demokrasi pulau itu dan disifatkan sebagai 'pekerja pragmatik untuk kemerdekaan Taiwan'.
Lai berjanji untuk terus mengekalkan 'status quo' di Selat Taiwan, yang memelihara kedaulatan negara itu.
Majlis angkat sumpah Lai dan Naib presidennya yang dilantik Hsiao Bi-khim diadakan di Bangunan Pejabat Presiden di Taipei.
Lai dan Hsiao dikenali di peringkat antarabanga kerana kedua-duanya merupakan utusan tertinggi Taiwan ke Washington, selain memperjuangkan kedaulatan negara itu.
Lai akan memyampaikan ucapan perasmiannya pada Isnin di hadapan ribuan rakyat di luar Pejabat Presiden.
Lapan ketua negara dan wakil daripada 51 delegasi antarabangsa dijemput termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Kanada.
Majlis akan diserikan dengan persembahan operan dan tradisional termasuk formasi udara Tentera Udara untuk memberi hormat kepada presiden baharu.
Taiwan mempunyai kerajaan, ketenteraan dan mata wangnya sendiri, dan majoriti 23 juta penduduk melihat diri mereka sebagai mempunyai identiti Taiwan yang berbeza, berasingan daripada Cina namun ia tidak mempunyai pengiktirafan diplomatik di pentas dunia. - AFP