fb fb fb fb fb

Kyiv dibedil: 6 terbunuh termasuk kanak-kanak

Foto REUTERS

KYIV, 31 Julai – Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang kanak-kanak, maut manakala puluhan lagi cedera apabila Rusia melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas ibu negara Ukraine, menurut pegawai tempatan pada Khamis.

Antara yang terkorban ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, kata pentadbir tentera bandar, Tymur Tkachenko, yang memaklumkan serangan pada waktu malam itu menyebabkan kerosakan di 27 lokasi merentasi empat daerah di ibu negara.

Presiden Volodymyr Zelenskiy memuat naik video memaparkan runtuhan yang terbakar, sambil menyatakan bahawa masih terdapat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah bangunan kediaman.

“Pagi yang amat menyedihkan di Kyiv. Serangan ganas Rusia memusnahkan seluruh blok kediaman dan merosakkan sekolah serta hospital,” kata Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha dalam hantaran di X, bersama gambar sebuah bangunan pangsapuri yang musnah.

Rusia, yang menafikan menyasarkan orang awam, sejak beberapa bulan lalu meningkatkan serangan udara ke atas bandar-bandar Ukraine yang jauh dari barisan hadapan perang yang kini memasuki tahun keempat.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilapor menunjukkan rasa kecewa terhadap rakan sejawatnya dari Rusia, dengan mendesak Vladimir Putin mempercepatkan tarikh akhir untuk mencapai persetujuan damai.

“Presiden Trump telah menunjukkan sikap yang sangat pemurah dan sabar terhadap Putin dalam usaha mencari penyelesaian,” tulis Sybiha.

“Tetapi Putin melakukannya dengan sengaja", ujarnya. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD