WASHINGTON, 31 Julai – Senator Amerika Syarikat, Bernie Sanders, pada Rabu menggesa Kongres supaya menamatkan bantuan ketenteraan kepada Israel, sambil mengecam keras tindakan Tel Aviv dalam perang Gaza yang kini memasuki bulan ke-10.
Memetik laporan Majlis Penyelidikan Universiti Brown, Sanders memaklumkan kira-kira 70 peratus daripada kos perang Gaza telah dibiayai oleh pembayar cukai Amerika.
“Wang rakyat Amerika telah digunakan untuk membiarkan kanak-kanak mati kelaparan, mengebom sekolah, membunuh orang awam dan menyokong kekejaman Netanyahu serta menteri-menteri jenayahnya,” katanya lantang.
Sanders menegaskan sudah terlalu lama Kongres tidak menggunakan kuasa dan pengaruhnya terhadap dasar luar Amerika Syarikat, khususnya terhadap Israel.
“Sudah tiba masanya Kongres menggunakan pengaruh yang kita ada,” ujarnya.
Kementerian Kesihatan Gaza pada hari sama melaporkan tujuh lagi kematian akibat kebuluran, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang mempunyai masalah kesihatan.
Dalam tempoh tiga jam sahaja pada Rabu, sekurang-kurangnya 50 orang dilaporkan terbunuh apabila tentera Israel menyerang warga Gaza yang sedang cuba mendapatkan bantuan makanan dari trak PBB di utara wilayah itu.
Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan balas Israel ke atas Gaza yang turut memusnahkan sebahagian besar wilayah berkenaan, menurut kementerian kesihatan Gaza. -REUTERS