fb fb fb fb fb

8 maut, 18 masih hilang susulan cuaca ekstrem di Chengde

Foto REUTERS

CHENGDE, 31 Julai – Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala 18 lagi masih hilang akibat cuaca ekstrem yang melanda wilayah pergunungan Chengde dalam tempoh seminggu lalu.

Menurut laporan agensi berita rasmi Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan, semua kematian berlaku di beberapa perkampungan di kawasan Xinglong, di wilayah Hebei.

Bagaimanapun, waktu dan punca sebenar kematian tidak dinyatakan.

Kerja-kerja mencari mangsa hilang masih giat dijalankan, kata laporan itu.

Chengde, yang terletak di kawasan tanah tinggi dan pernah menjadi tempat peristirahatan maharaja Qing pada musim panas kini berdepan kerosakan besar akibat hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu.

Hujan luar biasa itu membawa curahan air bersamaan setahun dalam tempoh kurang seminggu, mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang di sekitar pinggir ibu negara, termasuk 28 orang di daerah perbukitan Miyun.

Ahad lalu, kira-kira 6,550 meter padu air bersamaan lebih dua kolam renang saiz Olimpik membanjiri empangan itu setiap saat, menolak kapasiti takungan ke paras 3.63 bilion meter padu.

Fenomena hujan luar biasa dan banjir besar yang semakin kerap berlaku itu dikaitkan oleh pakar kaji cuaca dengan perubahan iklim, dan menjadi cabaran besar kepada kerajaan China yang juga menyatakan kegiatan kilang turut terjejas akibat cuaca ekstrem tersebut. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD