HIROSHIMA, 31 Julai – Dengan senyuman lebar di wajahnya, Shun Sasaki, seorang budak lelaki berusia 12 tahun, memimpin pelancong menyusuri Taman Peringatan Keamanan Hiroshima sambil berkongsi kisah duka yang menimpa bandar itu hampir 80 tahun lalu.
Terinspirasi oleh pengalaman nenek moyangnya, Shun telah mengendalikan lawatan berjalan kaki secara percuma dalam bahasa Inggeris sejak lima tahun lalu bagi membantu pelancong asing dan penduduk tempatan memahami sejarah hitam pengeboman atom Hiroshima pada 6 Ogos 1945.
Setakat ini, lebih 2,000 pelawat telah dibawa mengenali bandar itu oleh Shun, yang menyampaikan kisahnya dengan Bahasa Inggeris yang tidak sempurna tetapi penuh yakin.
Beliau turut berkongsi kisah moyangnya, Yuriko Sasaki, yang terselamat walaupun rumah mereka hanya berjarak 1.5 kilometer dari pusat letupan.
“Saya mahu orang datang ke Hiroshima dan tahu apa yang berlaku pada 6 Ogos,” kata Shun kepada Reuters di rumah keluarganya.
Dua kali sebulan, Shun akan ke taman peringatan itu dengan memakai vest kuning tertulis “Please feel free to talk to me in English!” dengan harapan untuk mendidik pelancong mengenai kampung halamannya dan bahaya peperangan.
Usaha sukarelanya telah melayakkan Shun menjadi salah seorang daripada dua kanak-kanak tempatan yang dipilih berucap pada majlis peringatan ulang tahun ke-80 letupan bom atom tahun ini.
“Saya mahu mereka tahu betapa buruknya perang, dan betapa indahnya keamanan.
"Kita patut berbincang, bukan bertempur. Kita patut bercakap tentang kebaikan satu sama lain,” katanya.
Yuriko, moyang Shun, meninggal dunia akibat kanser usus pada tahun 2002 pada usia 69 tahun.
Beliau juga pernah menghidap kanser payudara lebih awal, namun tiada bukti perubatan mengaitkan penyakit itu dengan pendedahan radiasi.
Bom uranium yang dijatuhkan oleh Amerika Syarikat itu telah membunuh kira-kira 78,000 orang serta-merta, dan angka korban meningkat kepada 140,000 menjelang akhir 1945 akibat pendedahan radiasi.
Serangan bom kedua menyusul di Nagasaki pada 9 Ogos.
Shun berharap usaha kecilnya ini akan terus memberi inspirasi pada masa akan datang.
“Perkara paling berbahaya ialah bila kita lupa apa yang berlaku dulu… Saya fikir kita mesti sampaikan cerita ini kepada generasi seterusnya, dan jangan sesekali melupakannya,” katanya.
Upacara memperingati kira-kira 140,000 mangsa bom atom dijadualkan berlangsung pada 6 Ogos di taman yang sama tempat Shun memimpin pelancong. - REUTERS