BELGRADE, 29 Jun- Puluhan ribu pelajar dan penunjuk perasaan antirasuah berhimpun di ibu negara Serbia pada Sabtu, mendesak pilihan raya tergempar diadakan bagi menamatkan pemerintahan Presiden Aleksandar Vucic yang telah berkuasa selama 12 tahun.
Pasukan polis dikerah dalam jumlah besar, lengkap dengan pakaian rusuhan di sekitar bangunan kerajaan, parlimen dan Taman Pionirski, lokasi kumpulan penyokong Vucic dari seluruh negara berkumpul dalam perhimpunan balas.
Protes yang berlangsung selama beberapa bulan di seluruh Serbia, turut memaksa penutupan universiti.
Vucic, seorang populis yang kini berada dalam penggal kedua pemerintahannya yang akan tamat pada 2027, tahun yang sama pilihan raya parlimen akan diadakan.
Pihak pembangkang menuduh Vucic dan sekutunya mempunyai kaitan dengan jenayah terancang, melakukan kekerasan terhadap seteru politik dan menyekat kebebasan media, tuduhan yang dinafikan oleh pihak kerajaan.
Penunjuk perasaan berikrar untuk terus mengadakan bantahan secara aman dan menggesa kerajaan memenuhi tuntutan mereka sebelum protes berakhir.
Vucic sebelum ini menolak gesaan untuk mengadakan pilihan raya tergempar.
Parti Progresif yang diterajuinya bersama gabungan pemerintah kini menguasai 156 daripada 250 kerusi parlimen.- REUTERS