fb fb fb fb fb

Krisis politik Kosovo berlarutan, Parlimen gagal pilih speaker

Foto Reuters

PRISTINA, 25 Julai – Parlimen Kosovo menangguhkan sesi pengundian bagi memilih speaker baharu pada Jumaat, sekali gus terus memanjangkan kebuntuan politik yang telah menghalang pembentukan kerajaan lebih lima bulan sejak keputusan pilihan raya yang tidak muktamad.

Mengikut Perlembagaan Kosovo, pelantikan speaker merupakan syarat utama sebelum parti yang memenangi pilihan raya dibenarkan membentuk kerajaan.

Namun, ketiadaan sokongan merentas parti menjadikan proses itu semakin rumit, lantas mendedahkan jurang perpecahan yang ketara dalam negara termuda Eropah itu.

Mengikut undang-undang, ahli parlimen paling berusia akan mempengerusikan sidang sehingga speaker baharu dilantik.

Dalam Pilihan Raya Parlimen pada 9 Februari lalu, kempen yang berlangsung dalam suasana tegang menyaksikan Perdana Menteri sementara, Albin Kurti, melabel pembangkang sebagai “haiwan” dan “pencuri”.

Parti pimpinannya, Vetevendosje, memperoleh undian tertinggi tetapi gagal meraih majoriti mutlak.

Selepas beberapa percubaan gagal meluluskan pencalonan Kurti bagi jawatan speaker, iaitu bekas Menteri Kehakiman, Albulena Haxhiu, Parlimen dijadualkan sekali lagi mengundi pada Jumaat.

Namun, pertikaian antara parti-parti dalam dewan berkapasiti 120 kerusi berhubung kaedah pengundian menyebabkan sesi ditangguhkan ke hari Sabtu, hanya beberapa jam sebelum tempoh 30 hari yang ditetapkan Mahkamah Perlembagaan tamat.

Mengikut perundangan, Parlimen wajib bersidang sehingga seorang speaker dipilih.

Selepas itu, Presiden Kosovo akan memberikan mandat kepada parti Kurti untuk membentuk kerajaan baharu. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN