ISTANBUL, 25 Julai – Delegasi Eropah meninggalkan Konsulat Iran di Istanbul pada Jumaat selepas mengadakan rundingan nuklear pertama secara bersemuka dengan Tehran sejak serangan udara oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.
Rundingan itu berlangsung ketika Iran menolak cadangan untuk melanjutkan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesahkan perjanjian nuklear 2015.
Negara-negara Eropah bersama China dan Rusia masih terlibat dalam perjanjian tersebut, selepas Amerika Syarikat menarik diri pada 2018.
Resolusi yang mentadbir perjanjian itu akan tamat pada 18 Oktober, kecuali mekanisme “snapback” diaktifkan sebelum itu bagi mengembalikan semula sekatan PBB terhadap Iran.
Tiga negara Eropah (E3) telah menetapkan penghujung Ogos sebagai tarikh akhir untuk memulakan semula rundingan, dan menggesa Iran mengambil langkah konkrit termasuk kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan penjelasan berhubung 400 kilogram uranium diperkaya tinggi yang tidak dapat dikesan sejak serangan bulan lalu. -REUTERS