(Rakaman kejadian kren jatuh di New York/Twitter @jimmy_farring)
New York, 27 Julai- Sebahagian kren pembinaan tumbang dan terkena bangunan bersebelahan sebelum serpihan konkritnya jatuh ke jalan raya yang sedang sibuk di Midtown Manhattan di sini, semalam.
Enam orang cedera dalam kejadian sekitar pukul 7.30 pagi waktu tempatan itu.
Difahamkan, runtuhan terjadi selepas insiden kebakaran berlaku di dalam kereta kendaliannya.
Rakaman video dramatik yang disiarkan di media sosial menunjukkan bahagian kren itu melanggar bangunan kaca pencakar langit di seberang jalan ketika penduduk lari menyelamatkan diri daripada serpihan yang jatuh.
Timbalan Ketua Bomba New York City, Joseph Pfeifer berkata, insiden berlaku ketika kren berkenaan sedang mengangkat 16 tan konkrit sebelum kabelnya menjadi tidak stabil akibat kebakaran.
Pengendali kren memaklumkan dia melihat kebakaran serta cuba memadamkannya tetapi api menyambar dan dia terpaksa meninggalkan kren tersebut.
"Pengendali kren dapat keluar dan selamat. Siasatan lanjut sedang dijalankan pihak kami," kata Pfeifer.
Pada 2016, sebuah kren tumbang di Lower Manhattan semasa angin kencang dan salji lebat yang membunuh seorang. -AFP
(Foto AFP)