(Anggota bomba mencari mangsa yang terselamat di dalam runtuhan/AFP)
DOUALA, 27 Julai- Angka kematian akibat bangunan runtuh di hab perniagaan Cameroon di sini meningkat kepada 40 orang selepas tiga mayat ditemukan semalam.
Bangunan empat tingkat rumah pangsa itu runtuh dan menimpa bangunan kediaman lain di utara bandar tersebut pada Sabtu lalu.
Gabenor wilayah Littoral, Samuel Dieudonne Ivaha Diboua berkata, angka korban semasa adalah 40 orang dengan 20 lagi cedera termasuk empat kritikal.
"Angka kematian mungkin meningkat lagi," katanya.
Sementara itu, Presiden Paul Biya menerusi laman sosial memaklumkan, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa untuk membuka siasatan bagi menjelaskan punca tragedi tersebut.
Penduduk tempatan memberitahu bahawa terdapat kesan retak pada dinding bangunan yang usang dengan runtuhan berlaku ketika acara perayaan sedang berlangsung di bangunan terbabit.
Lima orang maut dalam keadaan sama di sini pada 2016 dengan pihak berkuasa menyalahkan sistem pembaikan yang lemah dan pelanggaran peraturan bangunan.
Pihak berkuasa tempatan kemudian mengenal pasti sebanyak 500 bangunan berstatus bahaya serta dalam risiko runtuh. -AFP
(Anggota bomba mencari mangsa yang terselamat di dalam runtuhan/AFP)