fb fb fb fb fb

Korea Utara siar dokumentari pertemuan Jong Un dengan Presiden China dan Rusia

Antara klip video dokumentari yang disiarkan media Korea Utara, memaparkan pertemuan Pemimpin Tertingginya, Kim Jong Un dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping di Beijing/ (KCNA VIA KNS / AFP)

PYONGYANG, 6 September- Media rasmi Korea Utara menayangkan dokumentari hampir sejam hari ini yang memaparkan lawatan Pemimpin Tertingginya, Kim Jong Un ke Beijing sempena ulang tahun ke-80 kekalahan Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua.

Rakaman dari 2 hingga 4 September itu turut memperlihatkan pertemuan Jong Un dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, serta Presiden China, Xi Jinping, sebelum beliau pulang ke Pyongyang.

Ketika pertemuan, Jong Un menyatakan kepada Putin bahawa Korea Utara akan memberikan "sokongan penuh" kepada tentera Rusia sebagai "tanggungjawab persaudaraan," menurut KCNA.

Beliau turut memberitahu Xi bahawa "tidak kira bagaimana keadaan antarabangsa berubah, semangat persahabatan tidak akan berubah."

Media negara itu turut mengesahkan anak perempuan Jong Un, Kim Ju Ae, mengiringinya menaiki kereta api ke Beijing dan kelihatan di stesen kereta api serta Kedutaan Korea Utara.

Walaupun tidak ditunjukkan meninggalkan Beijing, Ju Ae muncul dalam foto rasmi ketika mereka kembali ke Pyongyang pada Sabtu. -Reuters

SITI AISHAH BINTI MD ISA