SYDNEY, 4 Disember- Rangkaian penyeludupan Korea Utara cuba mendaftarkan kapal di kepulauan Pasifik untuk menyamar semasa mengedar minyak, menurut bekas pakar sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Dengan sekatan ketat yang mengehadkan keupayaan Pyongyang untuk mengimport bahan api, penyeludup Korea Utara menggunakan kaedah yang semakin kreatif untuk memperdaya pihak berkuasa dan mengelak pemeriksaan.
Menurut penganalisis keselamatan, ia boleh dikaitkan secara langsung dengan ketenteraan Korea Utara.
"Hampir tiada satu pun daripada Kepulauan Pasifik yang terlepas daripada percubaan Korea Utara untuk menyembunyikan kapal mereka," kata bekas anggota panel pakar Majlis Keselamatan PBB Neil Watts, mengenai Korea Utara.
Pusat Kajian Pertahanan Lanjutan yang berpangkalan di Washington memantau laluan perkapalan yang sibuk di Selat Taiwan dan Korea.
Pangkalan data sekatan dalaman yang disusun oleh badan pemikir mengenal pasti 17 kapal yang didaftarkan bawah Palau, Niue, Kepulauan Cook atau Tuvalu.
Dengan menjejaki kapal-kapal ini, penyelidik pusat itu mengenal pasti corak dan "tingkah laku berisiko tinggi" yang dipercayai boleh dikaitkan dengan rantaian bekalan minyak 'haram' Korea Utara.
Dalam laporan berasingan Majlis Keselamatan PBB yang diterbitkan sejak 2020, 11 buah kapal lagi telah menggunakan bendera Niue atau Palau dan dituduh membawa penghantaran bahan api menuju Korea Utara.
Bekas kapten dalam tentera laut Afrika Selatan Watts berkata, penyeludup sedang mencari cara untuk mengaburi "pemerhatian pihak berkuasa."
Perkara itu menyukarkan penyiasat untuk menentukan sama ada sebuah kapal sedang belayar atas laluan yang sah atau sebaliknya.- AFP