fb fb fb fb fb

Korea Utara arah buka lebih banyak tanah ladang, tingkat pengeluaran makanan

(Kim Jong Un melawat Ladang Rumah Hijau sayur-sayuran dan tapak pokok di Kyongsong County, Wilayah Hamgyong Utara pada 4 Disember 2019/FOTO REUTERS)

PYONGYANG, 2 Mac - Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menggesa penambahbaikan infrastruktur dan pembukaan tanah ladang untuk meningkatkan pengeluaran makanan, kata media kerajaan hari ini, di tengah-tengah amaran krisis makanan yang akan berlaku.

Kim memberi arahan untuk merombak sistem pengairan, membina mesin pertanian moden dan mewujudkan lebih banyak tanah yang boleh diusahakan ketika beliau menyempurnakan mesyuarat pleno ketujuh yang dianjurkan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja semalam.

Mesyuarat yang bermula Ahad lalu itu membincangkan situasi "mendesak" untuk meningkatkan sektor pertanian.

Korea Selatan memberi amaran tentang krisis makanan yang semakin memburuk di Korea Utara, termasuk peningkatan kematian akibat kebuluran baru-baru ini di beberapa wilayah.

Ekonomi Korea Utara menjunam susulan banjir dan taufan, sekatan ke atas program nuklear dan peluru berpandunya, serta kemerosotan mendadak perdagangan dengan China berikutan penutupan pintu sempadan dan sekatan akibat COVID-19. - Reuters

(Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menghadiri majlis pecah tanah untuk Ladang Rumah Hijau Kangdong di Pyongyang pada 15 Februari lalu/FOTO REUTERS)

Media Baharu