SEOUL, 23 Jun - Kerajaan Korea Selatan melantik menteri pertahanan awam pertama dalam tempoh lebih 60 tahun.
Ketua Staf Presiden, Kang Hoon-sik, dalam satu sidang media memaklumkan, ahli parlimen veteran, Ahn Gyu-back telah dipilih menerajui kementerian tersebut.
“Beliau dijangka akan melaksanakan reformasi dalam pasukan tentera, terutamanya berkaitan penglibatan tentera dalam perintah darurat,” katanya.
Pelantikan ini dibuat selepas cubaan darurat tentera yang gagal pada Disember lalu yang membawa kepada pemecatan bekas presiden Yoon Suk Yeol.
Ketika kempen pilihan raya, Presiden Lee Jae Myung berjanji untuk melantik seorang menteri pertahanan daripada kalangan orang awam.
Ia sebagai tindak balas terhadap gesaan rakyat yang mahu pemulihan kawalan sivil ke atas tentera susulan krisis perintah darurat tersebut. - AFP