fb fb fb fb fb

Israel serang semula tapak nuklear Fordo

Foto Arkib

TEHRAN, 23 Jun - Israel melancarkan satu lagi serangan ke atas tapak nuklear bawah tanah Fordo di selatan Tehran.

Menurut laporan berita Tasnim, serangan itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, termasuk di Fordo serta lokasi lain di Isfahan dan Natanz.

“Pihak penceroboh telah menyerang tapak nuklear Fordo sekali lagi,” lapor agensi berita tersebut yang memetik jurucakap pihak berkuasa pengurusan krisis wilayah Qom.

Ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak, menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap kestabilan serantau dan keselamatan global.

Ia ditambah dengan penglibatan Amerika Syarikat (AS) secara langsung dalam operasi ketenteraan baru-baru ini.

Presiden AS, Donald Trump, mendakwa serangan tersebut telah menghapuskan keupayaan nuklear Iran sepenuhnya, namun beberapa pegawai lain menyatakan masih terlalu awal untuk menilai kesan sebenar terhadap program nuklear negara itu.

Iran mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan dan berikrar akan bertindak balas, sambil menegaskan bahawa tiada tanda-tanda pencemaran dikesan selepas serangan.

Serangan oleh AS itu berlaku kira-kira 10 hari selepas Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan beberapa saintis nuklear, komander tentera kanan, serta menyasarkan pangkalan tentera, tapak nuklear dan kawasan kediaman. - AFP

 

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN