fb fb fb fb fb

Paetongtarn rombak kabinet Thai

PM rombak kabinet

BANGKOK, 23 Jun - Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra melakukan rombakan kabinet ketika krisis politik negara Gajah Putih itu sedang hangat diperkatakan.

Meski terdapat desakan untuk membubarkan parlimen, selepas Parti konservatif Bhumjaithai menarik diri daripada gabungan pemerintah menyebabkannya hilang majoriti, parti-parti gabungan lain terus menyatakan kesetiaan mereka kepada kerajaan.

Setiausaha Agung Pheu Thai, Sorawong Thienthong, memberitahu kesemua 10 parti yang masih bersama akan terus menyokong kerajaan.

“Tiada parti lain yang menarik diri. semua parti yang tinggal masih bersatu menyokong kerajaan. Perdana Menteri telah berbincang mengenai rombakan dengan para pemimpin politik lain,” katanya.

Barisan kabinet baharu dijangka dimuktamadkan menjelang Jumaat. Beberapa jawatan utama termasuk Menteri Pertahanan akan ditukar berikutan ketegangan sempadan dengan Kemboja yang masih berlarutan.

Walaupun Paetongtarn berjaya mengharungi krisis parlimen, satu ancaman yang lebih besar mungkin menanti melalui Mahkamah Perlembagaan. Sekumpulan senator konservatif telah memfailkan petisyen bagi menggugurkan beliau daripada jawatan.

Paetongtarn, yang baru setahun memegang jawatan, kini dilihat berada dalam kedudukan goyah selepas didakwa menghina negara dan pasukan tentera dalam satu rakaman panggilan telefon yang bocor dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang menyentuh isu pertikaian sempadan.

Politik Thailand bergelut dengan ketidakstabilan selama dua dekad akibat pertembungan berpanjangan antara golongan tentera, golongan elit pro-diraja dan parti-parti yang dikaitkan dengan Perdana Menteri yang disingkirkan iaitu Thaksin Shinawatra. - AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN