fb fb fb fb fb

Korea Selatan 'kesal', kesilapan Majlis Pembukaan Olimpik

Delegasi Korea Selatan semasa menyusuri sungai Seine semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 di Paris/ AFP

SEOUL, 27 Julai- Kementerian Sukan Korea Selatan menyatakan kekesalan berhubung kesilapan semasa Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris yang melibatkan atlet negara itu, telah diperkenalkan sebagai Korea Utara.

Penyampai berbahasa Perancis memperkenalkan pasukan dari Korea Selatan sebagai Korea Utara (Republique populaire democratique de Coree), ketika delegasi Korea Selatan menaiki bot di Sungai Seine, sebagai negara peserta ke-48 dalam temasya Olimpik Paris 2024.

Kesilapan itu mencetuskan reaksi kurang senang di Korea Selatan, sebuah negara kuasa besar yang mempunyai budaya dan teknologi global serta masih berkonflik dengan Korea Utara yang mempunyai senjata nuklear dan miskin, kerana konflik 1950-1953 berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai.

"Kementerian Sukan Korea Selatan menyatakan kekesalan terhadap pengumuman semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, iaitu delegasi Korea Selatan diperkenalkan sebagai pasukan Korea Utara," katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Menteri Sukan Kedua, Jang Mi-ran, yang juga juara angkat berat Olimpik 2008, telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach bagi membincangkan perkara itu.

"Kementerian Sukan juga telah meminta Kementerian Luar untuk menyampaikan bantahan keras kepada pihak Perancis berhubung isu itu", katanya.

"Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Korea Selatan merancang untuk bertemu dengan Jawatankuasa Penganjur Olimpik Paris dan IOC untuk menyuarakan bantahan mereka, langkah-langkah untuk mencegah kesilapan berulang dan menghantar surat bantahan rasmi di bawah nama ketua delegasinya, kata kementerian itu.

Dalam pada itu, Korea Utara sebagai negara ke-153 yang menyertai Sukan Olimpik tersebut telah diperkenalkan dengan betul dengan nama rasmi negara itu.

Hubungan antara Korea Selatan dan Korea Utara berada pada satu titik terendah sejak beberapa tahun lalu. Ini termasuk tindakan Korea Utara mengukuhkan hubungan ketenteraan dengan Rusia serta menerbangkan ribuan belon membawa sampah ke Korea Selatan.

Sebagai tindak balas, tentera Seoul melancarkan mesej K-pop dan anti-rejim daripada pembesar suara di sempadan dan serta menyambung latihan tembakan di pulau-pulau berhampiran sempadan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN