(FOTO REUTERS)
SEOUL, 3 April- Tentera laut Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun akan menjalankan latihan antikapal selam selama dua hari bermula hari ini bagi memantapkan kemampuan melawan keupayaan nuklear dan peluru berpandu milik Korea Utara.
Latihan itu akan dilaksanakan di perairan antarabangsa berhampiran pulau Jeju di selatan Korea Selatan, membabitkan kapal induk penyerang AS diketuai USS Nimitz, yang tiba di bandar Busan minggu lalu.
Sesi latihan trilateral itu dilaksanakan ketika Korea Utara mendedahkan peledak nuklear lebih kecil yang baharu minggu lalu, dan berikrar untuk menghasilkan lebih banyak bahan nuklear untuk gred persenjataan, selain menambah dron serangan dalam air bersenjata nuklear.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan, memaklumkan latihan minggu ini akan menggunakan sasaran perang gerila antikapal selam yang bergerak bagi menambah baik keupayaan untuk mengesan, menjejak dan memusnahkan ancaman dalam air oleh Korea Utara.
Kali terakhir ketiga-tiga negara itu menjalankan latihan antikapal selam trilateral adalah pada September tahun lalu.
Sesi latihan ketika itu adalah kali pertama dalam tempoh lima tahun dan dilaksanakan ketika kemuncak ketegangan susulan tindakan Korea Utara melancarkan jumlah ujian peluru berpandu tertinggi dalam sejarah. - REUTERS
(FOTO REUTERS)