COLOMBO, 1 Disember - Angka kematian akibat Siklon Ditwah di Sri Lanka meningkat kepada 334 orang, manakala 370 lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa.
Menurut Pusat Pengurusan Bencana Sri Lanka, hampir satu juta penduduk terjejas akibat hujan lebat dan banjir yang melanda sebahagian besar negara Asia Selatan itu, memaksa hampir 200,000 orang berlindung di 1,275 pusat pemindahan.
Hujan yang melanda negara itu sejak Khamis lalu mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh di kawasan bukit, manakala air sungai yang melimpah telah menenggelamkan bandar-bandar di seluruh negara.
Lebih 24,000 anggota polis, tentera dan tentera udara dikerahkan untuk menghubungi keluarga yang terperangkap.
Berpuluh-puluh keluarga terperangkap di rumah, akibat banjir di ibu kota Colombo, yang merupakan antara kawasan paling teruk terjejas.
Di Kelaniya, sebuah bandar pinggir Colombo, makanan siap masak dibekalkan oleh agensi kerajaan dan sumbangan orang ramai, namun ramai mangsa memberitahu Reuters bahawa bantuan masih belum mencukupi. Lebih 17,000 orang kini berada di pusat pemindahan menunggu paras air surut.
Bekalan elektrik, air dan perkhidmatan komunikasi dijangka dipulihkan secara berperingkat dalam tempoh tiga hari, selepas talian penghantaran dan transformer rosak akibat banjir.- REUTERS