fb fb fb fb fb

Pelajar dibebaskan selepas tuntut siasatan kebakaran di Hong Kong

Foto AFP

HONG KONG, 1 Disember - Polis Hong Kong melepaskan seorang pelajar yang ditahan selepas mengedar risalah yang menyeru siasatan bebas berhubung kebakaran besar yang meragut sekurang-kurangnya 146 nyawa.

Miles Kwan, 24, dilihat meninggalkan sebuah balai polis dengan menaiki teksi pada petang Isnin.

Polis menahan beliau pada Sabtu (29 November), namun Reuters tidak dapat mengesahkan sama ada beliau turut ditangkap secara rasmi atau sebaliknya.

Pelajar Universiti China Hong Kong (CUHK) itu mengedar risalah pada Jumaat (28 November) bagi menggesa orang ramai menandatangani petisyen dalam talian yang menuntut siasatan bebas terhadap kemungkinan amalan rasuah serta semakan semula pengawasan kerja pembinaan.

Petisyen tersebut memperoleh lebih 10,000 tandatangan menjelang Sabtu petang, sebelum ia ditutup.

South China Morning Post melaporkan, dua individu lain turut ditahan kerana disyaki berniat menghasut. Bagaimanapun, polis enggan mengulas mengenai penahanan tersebut.

Sabtu lalu, Pejabat Keselamatan Negara China memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan daripada tragedi berkenaan untuk menyeret Hong Kong kembali ke kancah kekacauan seperti pada 2019, ketika bantahan prodemokrasi besar-besaran mencetuskan krisis politik.

Insiden kebakaran besar itu bermula pada Rabu minggu lalu melibatkan perumahan Wang Fuk Court di Tai Po, berhampiran sempadan tanah besar China.

Lebih 40 orang masih dilaporkan hilang setakat Ahad (30 November), menurut polis.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN