BRUSSELS, 28 Oktober- Kenyataan tentera Israel disiarkan agensi berita Reuters dan Agence France Presse yang menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat memberi jaminan ke atas keselamatan wartawan bertugas di Semenanjung Gaza mendapat kecaman oleh Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ).
Memetik laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), Setiausaha Agung IFJ, Anthony Bellanger sebagai berkata, pihak yang berperang mesti menghormati undang-undang antarabangsa, walaupun 'tegangnya' situasi berkenaan.
"Ia sama sekali tidak boleh diterima, jika pemerintah Israel cuba membebaskan diri daripada tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa dengan mengeluarkan kenyataan akhbar sebegitu.
"Adalah hak setiap orang untuk mendapat akses kepada maklumat, ini ditegaskan dalam Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, (yang) menyokong misi wartawan itu.
"(Jadi), Israel mesti menghormati perkara ini," tegasnya.
IFJ juga menuntut Israel untuk menghormati Artikel 79 Konvensyen Geneva yang menyatakan bahawa wartawan di zon perang mesti dilayan sebagai orang awam dan dilindungi, selagi mereka tidak terlibat dalam permusuhan.