GAZA, 16 Jun – Jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza meningkat kepada 55,362 orang, dengan 128,741 lagi cedera, sejak konflik antara Hamas dan Israel bermula pada 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Ahad.
Dalam tempoh 24 jam lalu, serangan udara dan darat oleh tentera Israel telah mengorbankan 65 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 315 orang.
Sejak Israel melancarkan semula kempen ketenteraan intensif pada 18 Mac, seramai 5,071 rakyat Palestin terbunuh manakala 16,700 orang cedera, menurut laporan kesihatan tempatan.
Pihak berkuasa juga melaporkan bahawa di pelbagai pusat pengagihan bantuan kemanusiaan di seluruh Gaza, angka kematian akibat tembakan dan insiden lain telah meningkat kepada 300 orang, dengan lebih 2,649 lagi cedera.
Terbaharu, pada awal pagi Ahad waktu tempatan, satu lagi insiden tembakan berlaku di sebuah pusat pengagihan bantuan di selatan Gaza, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan lebih 50 cedera.
Setakat ini, tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak Israel.
Sebelum itu, pada pagi Sabtu, 27 orang awam dilaporkan terbunuh berhampiran pusat pengagihan bantuan di kawasan selatan Gaza, termasuk 11 orang yang sedang beratur untuk menerima bekalan.-REUTERS