ASTANA, 15 Jun- Ibu negara Kazakhstan, Astana kini bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak China-Asia Tengah kali kedua yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 18 Jun ini.
Presiden China, Xi Jinping dijangka menghadiri sidang kemuncak berkenaan atas jemputan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.
Beliau akan menyertai pemimpin dari lima negara Asia Tengah bagi membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, infrastruktur, tenaga dan inovasi.
Perkara itu disokong kemampuan Asia Tengah yang semakin menonjol sebagai koridor penting perdagangan dan transit.
Sidang kemuncak kali ini dianggap berperanan besar dan mendapat perhatian tinggi daripada pelbagai pihak.
Menurut pemimpin perniagaan serantau, sidang tersebut berpotensi menghasilkan perjanjian konkrit dalam pelbagai sektor penting bagi memperkukuh keterhubungan antara negara.
"Antara tumpuan utama adalah isu berkaitan tenaga, sektor pertanian, kecerdasan buatan (AI), serta industri pembuatan, pengangkutan dan logistik.
"Ini merupakan bidang-bidang utama yang akan dimeterai perjanjian," kata Pengerusi Dewan Perniagaan Nasional Kazakhstan, Raimbek Batalov.
Tumpuan utama bukan hanya tertumpu kepada perdagangan, malah melibatkan peranan China dalam membentuk kerjasama jangka panjang menerusi pelaburan, pembangunan infrastruktur dan inisiatif pendidikan.
Sesetengah pihak melihat pelaburan China sebagai alternatif penting dalam menyokong pembangunan rantau tersebut, khususnya dalam konteks perubahan dinamik global.
"Asia Tengah kini menjadi titik pertembungan kepentingan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Persekutuan Rusia dan China.
"Hari ini, Asia Tengah memainkan peranan strategik kepada banyak kuasa besar," jelas Pengerusi Yayasan Awam Persatuan Pengkaji China, Kazbek Maigeldinov.
Usaha untuk mewujudkan laluan perdagangan yang stabil melalui Asia Tengah semakin menjadi keutamaan susulan tekanan yang dihadapi rantaian bekalan global ketika ini.
Para pemimpin sedar sebarang keputusan yang bakap dicapai pada sidang berkenaan dijangka memberi kesan jangka panjang terhadap keseimbangan serantau pada masa hadapan.- REUTERS