COLOMBO, 28 November - Korban banjir dan tanah runtuh di Sri Lanka meningkat kepada 56 orang, manakala 21 lagi masih hilang susulan hujan lebat berterusan yang melanda seluruh negara itu.
Pusat Pengurusan Bencana Sri Lanka berkata, pihak berkuasa menggerakkan aset tentera termasuk helikopter, bot tentera laut dan kenderaan berperisai untuk memindahkan penduduk yang terperangkap di beberapa kawasan.
Hampir seluruh kawasan pulau seluas 65,000 kilometer persegi itu dilanda hujan, dengan sesetengah daerah menerima sehingga 360 milimeter dalam tempoh 24 jam.
Seramai 26 mangsa maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di daerah Badulla, kawasan penanaman teh utama negara itu.
Sistem ribut kencang Ditwah yang bergerak melintasi wilayah timur Sri Lanka dijangka menuju ke negeri Tamil Nadu, India menjelang Ahad, dengan hujan lebat serta angin kuat dijangka berterusan.
Hampir 1,800 keluarga dipindahkan dan hampir 700 rumah rosak akibat banjir dan tanah runtuh.
Paras sungai di seluruh negara dilaporkan meningkat, menyebabkan penduduk di kawasan rendah diarah berpindah segera ke tempat lebih selamat.
Peperiksaan akhir tahun persekolahan ditangguhkan dua hari, manakala penjawat awam diberikan cuti khas.
Parlimen Sri Lanka turut menggantung sesi perbahasan belanjawan bagi membolehkan ahli parlimen pulang ke kawasan masing-masing menguruskan operasi bantuan. - AFP