HONG KONG, 28 November - Polis Hong Kong menahan tiga individu, termasuk dua pengarah syarikat pembinaan dan seorang perunding kejuruteraan, susulan kebakaran besar di Apartment Wang Fuk Court yang meragut 94 nyawa.
Kebakaran itu disifatkan antara tragedi paling buruk dalam sejarah di Hong Kong.
Rakaman dron terbaharu menunjukkan blok kediaman di Tai Po hangus hitam dengan bingkai tingkap cair serta perancah buluh runtuh selepas api marak lebih 20 jam sejak Rabu petang.
Bahan ubah suai seperti perancah buluh, jaring pelindung dan papan polistirena mudah terbakar dikenal pasti mempercepatkan merebaknya api.
Lebih 1,200 anggota bomba dan paramedik serta lebih 200 jentera bomba dan 100 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian, namun operasi berdepan suhu ekstrem apabila runtuhan perancah menyukarkan akses ke tingkat atas.
Seramai 900 penduduk dipindahkan ke pusat sukan dan sekolah berhampiran sebagai penempatan sementara.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, menyifatkan kebakaran lima peringkat itu sebagai bencana besar dan mengarahkan siasatan khas terhadap punca kejadian serta pematuhan bahan ubah suai kepada piawaian keselamatan. - VIORY