fb fb fb fb fb

Kongres Argentina lulus belanjawan 2026, pertama di bawah Presiden Javier Milei

Presiden Argentina, Javier Milei /REUTERS

BUENOS AIRES, 27 Disember - Kongres Argentina pada Jumaat meluluskan belanjawan 2026, yang pertama sejak Presiden Javier Milei mengambil alih jawatan pada akhir 2023.

Belanjawan itu diluluskan dengan 46 undi menyokong, 25 menentang dan satu berkecuali, merangkumi perbelanjaan sebanyak AS$102 bilion atau (148 bilion peso Argentina).

Belanjawan itu meramalkan ekonomi negara Amerika Selatan kedua terbesar itu akan tumbuh 5% dengan inflasi 10.1%, serta mencatat surplus utama bersamaan 1.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Belanjawan 2023 adalah belanjawan terakhir yang diluluskan oleh Kongres.

Dalam dua tahun pertama pentadbirannya, kerajaan Milei melanjutkan belanjawan tahun sebelumnya tanpa kelulusan baharu di Kongres, menyebabkan beberapa sektor terjejas teruk akibat inflasi yang mencecah hampir 300% pada April 2024.

Menurut laporan Civil Association for Equality and Justice, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Buenos Aires, belanjawan baharu itu menunjukkan peningkatan 7% dari segi sebenar berbanding 2025, namun turun 24.6% berbanding belanjawan 2023 yang diluluskan Kongres.

Badan pemikir itu turut menekankan bahawa beberapa unjuran inflasi jauh lebih tinggi daripada ramalan eksekutif.

Belanjawan 2026 menandakan langkah pertama pentadbiran Milei dalam menetapkan hala tuju fiskal selepas dua tahun tanpa kelulusan belanjawan baharu, sambil cuba menstabilkan ekonomi dan mengekang tekanan inflasi. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD