fb fb fb fb fb

Konflik Sudan: Pihak bertelagah setuju gencatan senjata tiga hari

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 25 April- Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) telah bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata di seluruh negara selama 72 jam bermula tengah malam.

Kerajaan AS menggesa kedua-dua pihak untuk mematuhi sepenuhnya perjanjian ini, kata Blinken dalam satu kenyataan.

Pengumuman yang sama telah dibuat sejak tercetusnya pertempuran tetapi tidak dipatuhi.

"Untuk menyokong penamatan pertempuran yang berkekalan, Amerika Syarikat akan menyelaraskan dengan rakan kongsi serantau dan antarabangsa, dan pihak berkepentingan awam Sudan, untuk membantu dalam mewujudkan jawatankuasa bagi mengawasi rundingan, kesimpulan dan pelaksanaan pemberhentian permusuhan secara kekal di Sudan dan mengatur bantuan keanusiaan ke negara itu," kata Blinken.

"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak Sudan dan rakan kongsi kami ke arah matlamat bersama untuk kembali kepada kerajaan awam di Sudan."

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa hari pertempuran sengit di Sudan.

Beratus-ratus orang telah terkorban dalam pertempuran yang bermula lebih seminggu lalu dalam peningkatan perebutan kuasa antara presiden de facto Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya Mohammed Hamdan Daglo, ketua kumpulan separa tentera yang kuat RSF.

Pada minggu lalu, AS telah pun menutup kedutaannya di Khartoum dan memindahkan kakitangan kedutaan. Washington kini sedang mencari jalan untuk menyambung semula aktiviti diplomatiknya di negara itu.

Sekurang-kurangnya 413 orang terbunuh dan 3,551 lagi cedera sejak konflik di Sudan tercetus pada 15 April.- REUTERS


(Setiausaha Negara AS Antony Blinken / REUTERS)

Media Baharu