SREI SNAM, 10 Disember - Pertempuran antara Thailand dengan Kemboja merebak ke bahagian baharu di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.
Angka kematian dilapor meningkat kepada 10 nyawa, manakala lebih 140,000 penduduk terpaksa melarikan diri.
Setakat ini, Thailand mengesahkan hampir 500 pusat perlindungan sementara dibuka di sepanjang wilayah sempadan, menempatkan lebih 125,000 individu.
Sementara Kemboja memaklumkan 514 sekolah sekitar sempadan ditutup, menjejaskan kira-kira 130,000 pelajar.
Susulan konflik berkenaan penduduk di Kemboja terpaksa berlindung di penempatan sementara dan mengharapkan bantuan masyarakat antarabangsa bagi menamatkan pertempuran berkenaan.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menerusi kenyataan menyeru semua pihak berkaitan agar mematuhi kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta mengehadkan kemudaratan kepada penduduk, termasuk mengelakkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.-AFP