fb fb fb fb fb

Konflik sempadan: Kemboja turunkan tahap hubungan diplomatik dengan Thailand

Foto AFP

PHNOM PENH, 24 Julai - Kerajaan Kemboja pada Khamis menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Thailand ke tahap paling rendah, lapor media kerajaan.

Menurut Agency Kampuchea Press milik kerajaan, hubungan itu diturunkan ke tahap Second Chargé d’Affaires.

Kakitangan diplomatik Kemboja yang berpangkalan di Bangkok turut akan dipanggil pulang.

Misi diplomatik Thailand di Phnom Penh juga telah diarahkan untuk mengambil tindakan yang sama, menurut laporan itu.

Tindak balas diplomatik Kemboja itu berlaku selepas kerajaan Thailand pada Rabu memutuskan untuk menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan beberapa tenteranya.

Lima anggota tentera Thailand cedera dalam letupan periuk api di Kampung An Se, daerah Choam Khsant, wilayah Preah Vihear, Kemboja pada 23 Julai.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Kemboja menolak dakwaan Thailand itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Sebelum itu, pada 16 Julai, tiga anggota tentera Thailand cedera ketika melakukan rondaan di kawasan sempadan berhampiran wilayah Preah Vihear, menurut laporan media Thailand.

Kemboja dan Thailand terlibat dalam pertikaian diplomatik sejak 28 Mei, susulan pertempuran sempadan antara anggota tentera kedua-dua negara di kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan.

Seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam insiden tembakan itu.

Dua negara jiran Asia Tenggara itu telah mempertikaikan sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan isu berkenaan terus menjejaskan hubungan diplomatik antara Kemboja dan Thailand. -BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM