fb fb fb fb fb

F-16 Thailand serang pasukan tentera Kemboja

Foto REUTERS

THAILAND, 24 Julai - Tentera Thailand pada Khamis memaklumkan bahawa sebuah jet pejuang F-16 telah memusnahkan dua batalion tentera Kemboja ketika konflik di sempadan kedua-dua negara semakin memuncak.

Seorang pegawai daerah Thailand memberitahu REUTERS bahawa sekurang-kurangnya dua orang awam Thailand terbunuh, manakala dua lagi cedera akibat serangan peluru dari arah Kemboja, pada hari sama.

Difahamkan, jet F-16 tersebut merupakan salah satu daripada enam pesawat pejuang yang sedang disiapkan untuk operasi.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, menerusi kenyataan di Facebook, mendakwa bahawa tentera Thailand telah menyerang kedudukan pasukan tenteranya di Kuil Ta Moan Thom dan Ta Krabei di wilayah Oddar Meanchey, serta meluaskan serangan ke kawasan tiga sempadan (Thailand, Kemboja dan Laos).

"Kemboja tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas secara bersenjata terhadap pencerobohan ini," katanya.

Ketegangan antara dua negara jiran Asia Tenggara itu memuncak selepas masing-masing menuduh pihak lawan melepaskan tembakan terlebih dahulu, susulan beberapa minggu ketegangan dan perselisihan diplomatik.

Pada malam Rabu, Thailand memanggil pulang dutanya dari Kemboja dan mengumumkan pengusiran duta Kemboja dari Bangkok, selepas seorang lagi anggota tenteranya kehilangan kaki akibat periuk api yang didakwa baru dipasang di kawasan pertikaian.

Thailand dan Kemboja telah lama bertelagah mengenai isu sempadan darat sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan, yang beberapa kali mencetuskan pertempuran, termasuk kejadian tembak-menembak dan serangan artileri pada 2011 yang meragut sekurang-kurangnya belasan nyawa. –REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM