BANGKOK, 24 Julai – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, mendakwa bahawa negaranya telah menunjukkan “tahap kawalan yang tinggi" dalam menghadapi konflik sempadan yang semakin tegang dengan Kemboja.
Menerusi satu hantaran di platform X, beliau menuduh bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, sebagai pencetus krisis.
Thaksin mendakwa bahawa Hun Sen memulakan pertempuran dengan melepaskan tembakan artileri dan memasang periuk api di sepanjang kawasan sempadan yang masih dipertikaikan antara kedua-dua negara jiran itu.
“Kita perlu beri ruang kepada tentera Thailand untuk menjalankan tugas mereka dan memberi satu pengajaran kepada Hun Sen,” tulis Thaksin.
“Mulai sekarang, tentera Thailand diberi kuasa untuk bertindak balas mengikut pelan operasi, dan Kementerian Luar boleh melaksanakan pelbagai langkah diplomatik secara sah,” tambahnya lagi.
Walaupun Thaksin tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan, beliau kekal sebagai tokoh berpengaruh dalam politik Thailand dan sering dilihat sebagai ‘kuasa di belakang’ parti pemerintah Pheu Thai. - REUTERS