fb fb fb fb fb

100,000 lari selamatkan diri susulan pertempuran Thailand-Kemboja

Sebilangan keluarga melarikan diri mencari perlindungan di kuil Buddha/Foto REUTERS

BANGKOK, 25 Julai – Lebih 100,000 orang telah melarikan diri susulan pertempuran sempadan paling berdarah antara Thailand dan Kemboja dalam tempoh sedekad, kata kerajaan Thailand pada Jumaat, ketika angka korban meningkat dan kuasa-kuasa antarabangsa mendesak agar permusuhan dihentikan segera.

Pertikaian lama mengenai sempadan mencetuskan pertempuran hebat pada Khamis, melibatkan jet pejuang, artileri, kereta kebal dan tentera darat.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mengadakan mesyuarat tergempar berhubung krisis itu lewat hari ini.

Kementerian Dalam Negeri Thailand memaklumkan bahawa lebih 100,000 penduduk dari empat wilayah sempadan telah dipindahkan ke hampir 300 pusat perlindungan sementara.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Thailand mengesahkan angka kematian meningkat kepada 14 orang, 13 orang awam dan seorang anggota tentera.

Di bandar Samraong, Kemboja, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan, bunyi tembakan artileri dari jauh pada pagi Jumaat menyebabkan sebilangan keluarga melarikan diri mencari perlindungan.

"Saya tinggal sangat dekat dengan sempadan. Kami takut kerana tembakan bermula semula sekitar pukul 6 pagi tadi," kata Pro Bak, 41, yang sedang membawa keluarganya mencari perlindungan di sebuah kuil Buddha.

"Saya tidak tahu bila kami boleh pulang semula ke rumah," tambahnya.

Keadaan bertambah tegang dengan tentera bergegas mengendalikan pelancar roket dan bergerak ke arah kawasan sempadan. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI