fb fb fb fb fb

Solidariti: R. Czech, Poland, Bulgaria tutup ruang udara kepada pesawat dari Rusia

 (Seorang wanita Ukraine bersama bayinya masuk ke Romania selepas menyeberangi Sungai Danube di sempadan Romania-Ukraine pada 25 Februari 2022/AFP)

WARSAW, 26 Februari– Bermula tengah malam Jumaat waktu tempatan, Republik Czech, Poland dan Bulgaria akan menutup ruang udara masing-masing kepada pesawat dari Rusia sebagai reaksi kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Terdahulu, syarikat penerbangan Poland, LOT sudah menggantung penerbangan ke Moscow dan Saint Petersburg.

“Menjelang tengah malam hari ini (Jumaat), trafik untuk ke semua syarikat penerbangan dari Rusia ke ruang udara Czech akan dihentikan,” kata Menteri Pengangkutan Republik Czech, Martin Kupka menerusi Twitter.

Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki menerusi Facebook pula menyatakan, negaranya juga sedang mengambil resolusi sama.

“Sekatan akan bermula tengah malam ini,” menurut jurucakap kerajaan Poland, Piotr Muller menerusi Twitter.

Keputusan sama turut diambil Bulgaria menjelang tengah malam susulan konflik ketenteraan yang semakin serius selain sebagai tanda solidariti kepada Ukraine.

"Pesawat Rusia, tidak boleh lagi memasuki ruang udara Bulgaria termasuk kawasan perairan,” menurut kenyataan kementerian pengangkutan.

Britain telah mengambil langkah sama pada Khamis dengan melarang syarikat penerbangan utama Rusia Aeroflot daripada terbang di ruang udara United Kingdom (UK).

Sejurus itu Moscow mengambil keputusan balas dengan menyekat penerbangan ke semua pesawat yang ada kaitan dengan UK termasuk penerbangan transit dari ruang udara Rusia.

Sementara itu, Moldova pada Khamis telah menutup ruang udaranya dan ke semua penerbangan dilencongkan ke lapangan terbang lain. Belarus pula menyatakan sudah menutup sebahagian ruang udaranya. -AFP

Media Baharu