fb fb fb fb fb

Rusia-Ukraine: Gencatan senjata dicabuli, Moscow sedia ke meja rundingan

(Salah satu kawasan di Kharkiv, bandar ke-2 terbesar di Ukraine yang musnah akibat bedilan tentera Rusia/AFP)

KIEV, 6 Mac- Perkembangan terbaru konflik Rusia-Ukraine menyaksikan gencatan senjata dipersetujui sebelum ini, dicabuli.

Rusia meneruskan serangan di bandar tenggara Mariupol yang sudah dikepung selepas gencatan senjata dipersetujui bagi membolehkan orang awam dipindahkan. Ke dua-dua pihak menyalahkan antara satu sama lain.

Pegawai di Mariupol telah mengumumkan rancangan untuk pemindahan besar-besaran ketika gencatan senjata namun selepas itu menyatakan operasi terpaksa ditunda selepas Rusia membedil bandar itu.

Rusia menyalahkan tentera Ukraine di Mariupol kerana menghalang penduduk meninggalkan bandar itu.

Doktor Tanpa Sempada atau ‘Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di bandar itu dalam ‘malapetaka’ dan amat perlu menubuhkan koridor kemanusiaan.

-SEMAKIN MARA DI KIEV -

Tentera Rusia dilaporkan semakin menghampiri Kiev, ibu negara Ukraine sama ada kemaraan dari utara mahupun dari bahagian barat.

Wartawan AFP menyaksikan insiden kemanusiaan serius di bandar utama Chernihiv yang merekodkan berpuluh-puluh orang awam terbunuh sama ada terkena tembakan, serangan peluru berpandu dan serangan udara.

-PUTIN BERI AMARAN KEPADA NATO-

Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran “malapetaka dan kesan ‘besar’ tidak hanya kepada Eropah tetapi juga seluruh dunia” jika kuasa asing cuba mewujudkan zon larangan terbang di Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky telah merayu kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk melaksanakan zon larangan terbang, namun ketua NATO, Jens Stoltenberg menolak permintaan itu kerana boleh menyebabkan perang merebak ke seluruh Eropah.

-TIADA TIKET KELUAR-

Syarikat penerbangan utama Rusia, Aeroflot umum menggantung semua penerbangan antarabangsa bermula 8 Mac ini kecuali penerbangan ke negara jiran, Belarus.

Langkah itu memburukkan “pengasingan” Rusia apabila banyak syarikat asing dan pengendali perjalanan lebih awal mengambil langkah sama.

(Pelajar Saint Joseph's High School di Hyderabad berbaris membentuk perkataan "PEACE" reaksi konflik Rusia-Ukraine/AFP)

-LIPUTAN MEDIA DIHALANG-

Sebilangan besar penyiar antarabangsa termasuk BBC, CNN, RAI Italy dan syarikat Jerman ARD serta ZDF menyatakan mereka akan menghentikan laporan dari Rusia.

Ia selepas Rusia meluluskan undang-undang untuk mengenakan hukuman atas penerbitan yang dipanggil “berita palsu” mengenai operasi tentera Rusia di Ukraine.

Undang-undang itu menetapkan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.

Akhbar bebas Rusia, Novaya Gazeta yang pernah menang anugerah menyatakan syarikat akan menghentikan laporan perang di Ukraine susulan pelaksanaan undang-undang tersebut.

-LOJI NUKLEAR TERBAKAR-

Kebakaran di stesen janakuasa nuklear terbesar Eropah di Zaporizhzhia berjaya dipadamkan. Ukraine menuduh Rusia sebagai "pengganas nuklear" kerana membedil loji tersebut.

Tentera Rusia kemudian mengambil alih tapak itu yang menjana satu perlima bekalan elektrik Ukraine.

-RANCANG LEBIH BANYAK RUNDINGAN-

Salah seorang perunding Ukraine berkata pusingan ketiga rundingan dengan Rusia bagi menamatkan serangan akan diadakan Isnin ini.

Presiden Rusia, Vladimir Putin menerusi panggilan telefon dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata, Moscow sedia untuk mengadakan rundingan jika ke semua tuntutan dipatuhi.

-PERANG TIDAK BERAKHIR SEGERA-

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken memberi amaran perang di Ukraine tidak akan tamat dalam tempoh terdekat. Sekutu AS dan Eropah perlu lebih kuat menghadapi tekanan sehingga konflik berakhir.

-RUSIA TERASING-

Rusia semakin terasing daripada hubungan dengan dunia luar selepas undi bersejarah Majlis Hak Asasi Kemanusiaan PBB mahu siasatan atas pelanggaran kemanusiaan semasa operasi ketenteraan di Ukraine dijalankan. Hanya Eritrea berpihak kepada Moscow.

-ANCAMAN KEBULURAN-

Kira-kira 1.37 juta penduduk telah meninggalkan Ukraine, berhijrah ke negara jiran sejak pencerobohan Rusia minggu lepas, menurut PBB.

Program Makanan Sedunia (WFP) pula telah mengeluarkan amaran krisis makanan berisiko menjadi lebih serius di Ukraine dan kawasan konflik sementara gangguan dalam pengeluaran dan eksport makanan boleh menyebabkab ketidaktentuan keselamatan makanan global.

-DOA DUNIA LEBIH AMAN-

Imam besar Masjid Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb, menggesa lebih banyak bantuan kemanusiaan untuk Ukraine dan usaha lebih baik dilakukan bagi menamatkan perang.

“Kami menyaksikan orang awam Ukraine meninggalkan kediaman mereka demi keselamatan, ujian sebenar kemanusiaan,” kata ulama besar menerusi Twitter dalam bahasa Ukraine, Arab dan Inggeris. -AFP

Media Baharu