fb fb fb fb fb

Konflik Israel-Palestin: Campur tangan antarabangsa untuk tamatkan pencerobohan Israel

Foto AFP

RAMALLAH, 6 Disember- Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh, memberi amaran terhadap peningkatan pencerobohan Israel secara menyeluruh terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, beliau menggesa campur tangan antarabangsa untuk menghentikan pencerobohan yang berterusan sebelum keadaan lebih meruncing.

Abu Rudeineh dalam kenyataan memberitahu bahawa tentera zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai setiap hari terhadap rakyat Palestin di Gaza.

"Israel meneruskan jenayah harian mereka di Tebing Barat dengan terus menyerbu bandar, pekan dan kem Palestin dan melaksanakan hukuman mati di lapangan. Terbaharu kekejaman berlaku di bandar Tammoun dan kem Al-Faraa di Tubas.

Beliau menegaskan bahawa Israel sedang melakukan keganasan terancang terhadap rakyat Palestin di mana sahaja mereka berada.

Beliau menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk campur tangan segera bagi menghentikan pencerobohan menyeluruh ini dan menghentikan pertumpahan darah Palestin.

Beliau turut menganggap pentadbiran AS bertanggungjawab terhadap peningkatan pencerobohan tersebut.

"Pencerobohan ini tidak akan mencapai keamanan dan keselamatan bagi sesiapa, penyelesaian ketenteraan telah membuktikan kegagalan mereka", katanya.

Beliau menegaskan bahawa langkah untuk menamatkan pencerobohan Israel adalah mengiktiraf rakyat Palestin dan kemerdekaan mengikut legitimasi dan undang-undang antarabangsa.

ROSLINA BINTI DIN