LONDON, 14 Jun - Konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran boleh menjejaskan trafik perkapalan di Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport minyak dan gas asli cecair (LNG).
Iran sebelum ini pernah mengancam untuk menutup selat berkenaan ketika ketegangan geopolitik memuncak, namun tindakan itu masih belum direalisasikan.
Kemungkinan tercetusnya konflik serantau yang lebih meluas selepas serangan udara Israel ke atas Iran telah mencetuskan semula kebimbangan terhadap gangguan bekalan dan kenaikan harga tenaga.
Menurut Ketua Penganalisis dan Ketua Penyelidikan Global Risk Management, Arne Lohmann Rasmussen, penutupan Selat Hormuz akan menjadi “mimpi ngeri mutlak” bagi pasaran minyak.
“Jika Iran menyekat laluan sempit ini, ia boleh menjejaskan sehingga 20 peratus aliran minyak global. Penutupan ini berkemungkinan mendorong harga minyak melepasi paras US$100,” katanya.
Selat Hormuz, yang terletak di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman, merupakan laluan laut penting di mana kira-kira satu pertiga daripada perdagangan minyak global, antara 17 juta hingga 20 juta tong minyak mentah dan kondensasi melaluinya setiap hari.
Kira-kira 70 peratus daripada jumlah itu dihantar ke Asia, termasuk ke China, Jepun, India, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Pakistan dan Filipina, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Laluan ini juga penting bagi eksport LNG, khususnya dari Qatar dan Emiriah Arab Bersatu yang menyumbang 20 peratus perdagangan LNG global, manakala Eropah pula merupakan destinasi utama LNG yang melalui Selat Hormuz.
Pertubuhan Perdagangan Maritim United Kingdom pada Rabu memberi amaran bahawa ketegangan yang meningkat di rantau ini boleh mencetuskan aktiviti ketenteraan di laluan air utama dan menjejaskan pengangkutan laut.
Majlis Maritim Baltic dan Antarabangsa (BIMCO) turut memberi amaran bahawa sebarang serangan boleh memberi kesan langsung terhadap keselamatan pengangkutan laut.
Beberapa penganalisis menyatakan Iran sendiri bakal menghadapi risiko yang tinggi sekiranya ia menutup laluan itu kerana hampir keseluruhan eksport minyak Iran dan sebahagian besar import minyak China melalui Selat Hormuz.
Susulan serangan udara Israel awal Jumaat yang menyasarkan Tehran, kemudahan nuklear Natanz di Isfahan serta beberapa bandar termasuk Lorestan dan Kermanshah, harga minyak melonjak lebih tujuh peratus kepada US$73.58 setong - paras tertinggi dalam hampir lima bulan.
Beberapa pegawai kanan tentera Iran termasuk Panglima Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Hossein Salami dan Mejar Jeneral Mohammad Bagheri dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.
Israel juga dilaporkan menyerang kawasan kediaman di Tehran yang mengakibatkan kematian ramai orang awam termasuk beberapa ahli sains nuklear dalam serangan ke atas kemudahan Natanz, di Isfahan. - BERNAMA